Amalkan piawaian tertinggi dalam keselamatan, prestasi, akauntabiliti





Oleh : Khartini Hamir / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor/Morshidi, Mohammad Hasif Matzin






BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 30 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi tadi berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) Ke-415 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM) Ke-193 bagi suku kedua tahun 2025.


Mesyuarat tersebut berlangsung di bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM).


Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, dan Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah, selaku Ahli-ahli Lembaga Pengarah BSP dan BSM.


Pada mesyuarat berkenan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah.


Baginda menekankan kepentingan mengamalkan piawaian tertinggi dalam keselamatan, prestasi, dan akauntabiliti pada kesemua Syarikat-Syarikat Brunei Shell Joint Ventures (BSJV) dan Brunei Gas Carriers (BGC).


Baginda juga menyeru pelaksanaan yang lebih baik, budaya keselamatan psikologi, dan kewaspadaan berterusan demi ketahanan dan impak jangka panjang, di samping turut mengiktiraf kemajuan dalam kecekapan kos dan menggalakkan tumpuan berterusan terhadap disiplin kos, pembangunan kepimpinan, dan kesedaran risiko.


Mesyuarat juga membincangkan isu-isu penting seperti prestasi operasi, keselamatan, kewangan dan pembangunan tenaga manusia bagi BSP dan BSM.


Terdahulu atur cara dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Ash-Shaliheen, Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.


Mesyuarat dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Shell plc serta ahli-ahli kepimpinan daripada BSP dan BSM.


Mesyuarat tersebut seterusnya diikuti oleh titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, menandakan berakhirnya sesi Mesyuarat-Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Syarikat-Syarikat Brunei Shell Joint Venture bagi suku kedua tahun 2025.


06 (1).jpg


07 (1).jpg


08.jpg


09.jpg


10.jpg




Close